Seri Kembangan, 8 Disember 2015: Projek Pembinaan Bertingkat Seri Kembangan, Lebuhraya MEX telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi, Maju Expressway Sdn Bhd. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 2 Disember 2013 dan dijangka dapat dibuka kepada pengguna selepas beberapa pemeriksaan akhir oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pembinaan Persimpangan Bertingkat ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi dimana kos pembinaan adalah dianggarkan sebanyak RM112 juta.
Dengan siapnya persimpangan ini, ianya akan menyediakan akses terus dari kawasan Seri Kembangan, Serdang dan Puchong untuk memasuki Lebuhraya MEX. Pada masa kini, kebanyakkan penduduk di Seri Kembangan berhadapan dengan masalah kesesakan trafik yang kritikal pada setiap masa terutamanya pada waktu puncak. Dengan pembukaan persimpangan bertingkat ini, ianya juga dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Putra Permai (FT3215) serta kawasan sekitar Seri Kembangan terutamanya di Taman Universiti Indah, Taman Puncak Jalil dan Taman Equine.
Selain itu, Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan ini juga akan menyediakan akses terus ke Bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui Lebuhraya MEX. Masa perjalanan ke Kuala Lumpur pada waktu puncak dapat disingkatkan iaitu dari 1 jam kepada 20 minit.
MAJU EXPRESSWAY SDN BHD
8 DISEMBER 2015